Page 8 - Penyata Kewangan
P. 8
PENGHARGAAN
PEGAWAI KEWANGAN NEGERI SELANGOR
Alhamdulillah, Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Selangor Tahun 2020 telah
sempurna diaudit oleh Jabatan Audit Negara Malaysia dan berjaya mengekalkan
Sijil Audit Bersih pada 27 Ogos 2021. Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah
kepada semua pihak yang terlibat di dalam penyediaan dan pengauditan Penyata
Kewangan Kerajaan Negeri Selangor Tahun 2020. Kejayaan ini sudah tentunya
terhasil daripada usaha, dedikasi, komitmen dan semangat kerja berpasukan yang
ditunjukkan oleh warga kerja Perbendaharaan Negeri Selangor. Budaya kerja
cemerlang ini seharusnya dikekalkan dan diteruskan pada setiap masa demi
memastikan Visi Menerajui Kecemerlangan Dalam Perkhidmatan dan
Pengurusan Kewangan Berintegriti dicapai.
Tahun 2020 menyaksikan penularan Pandemik Covid-19 yang melanda seluruh
dunia dan Negeri Selangor turut menerima impaknya. Fenomena ini telah
memberikan cabaran yang luar biasa kepada Perbendaharaan Negeri Selangor
khususnya dan Kerajaan Negeri Selangor amnya dalam memastikan Sistem
Penyampaian Awam dalam pengurusan kewangan Negeri berada di tahap yang
cemerlang. Pelaksanaan Sistem Perakaunan Akruan Kerajaan Negeri Selangor
(iSPEKS) pada 8 Januari 2020 telah banyak membantu meningkatkan kecekapan
pengurusan kewangan melibatkan terimaan hasil, bayaran dan pelaporan kewangan
kepada pemegang-pemegang taruh di mana capaian kepada maklumat kewangan
dapat dibuat dengan cepat bagi tujuan pembuatan keputusan yang berkesan.
Meskipun berdepan dengan cabaran yang luar biasa, prestasi dan kedudukan
kewangan Kerajaan Negeri Selangor Tahun 2020 terus kekal stabil apabila
mencatatkan lebihan kewangan sebanyak RM93.22 juta. Lebihan ini disumbangkan
oleh kecekapan kutipan hasil Kerajaan Negeri yang melepasi sasaran apabila
berupaya merekodkan kutipan sebanyak RM2,257.65 juta atau 2.62 peratus lebih
tinggi daripada sasaran sebanyak RM2,200 juta. Selain itu, kawalan perbelanjaan
yang berhemah dan berkesan telah berjaya menghasilkan penjimatan yang
diperlukan oleh Kerajaan Negeri apabila prestasi perbelanjaan mengurus
merekodkan perbelanjaan berjumlah RM1,216.18 juta atau 94.81% daripada
RM1,282.82 yang dibelanjawankan. Manakala prestasi perbelanjaan pembangunan
pula merekodkan perbelanjaan berjumlah RM948.25 juta atau 83.69% daripada
RM1,133.00 yang dibelanjawankan. Kejayaan ini telah menyumbang kepada
peningkatan rezab Kerajaan Negeri yang dipegang melalui Akaun Hasil Disatukan
kepada RM383.42 juta pada 31 Disember 2020.
Perbendaharaan Negeri Selangor akan terus komited dalam merencana dan
merumus strategi kewangan yang berkesan bagi memastikan kedudukan kewangan
Kerajaan Negeri Selangor sentiasa berdaya tahan dan dapat memenuhi obligasi
sosial serta keperluan pembangunan ekonomi Negeri Selangor.
DATO’ HAJI HARIS BIN KASIM D.P.M.S., S.I.S., A.S.A., P.P.T.
Pegawai Kewangan Negeri Selangor
PENYATA KEWANGAN KERAJAAN NEGERI SELANGOR 2020 | v
iv Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Selangor 2020
WJD21-0658 T.PAGE.indd 4 18/10/2021 9:45 AM

